nuffnang add


Wednesday 17 October 2012

SAMBUNGAN....NEBULIZER

ARTIKEL 2:

Kesihatan Anak: Lelah atau asma pulih sendiri apabila usia meningkat

Bersama Dr Azam Mohd Noor

Soalan satu:

Doktor, anak saya menghidap lelah. Saya sudah mendapatkan rawatan yang sepatutnya tetapi dia masih lagi berhadapan dengan masalah sama. Malah dia kerap dimasukkan ke wad kerana jangkitan kuman. Apa yang perlu saya lakukan untuk membantunya?

Izam,
Melalui e-mail.

Jawapan:

Lelah atau asma adalah penyakit paru-paru yang kerap di kalangan kanak-kanak. Apakah yang dimaksudkan dengan lelah atau asma? Untuk memahami dengan lebih lanjut saya akan jelaskan serba sedikit mengenai paru-paru. Di dalam paru-paru terdapat salur paru-paru yang membawa udara yang kita sedut ke hujung paru-paru. Ia dipanggil alveolar. Di sini udara yang beroksigen akan menyerap ke dalam salur darah dan menyebabkan kandungan oksigen dalam darah adalah tinggi. Apa yang dimaksudkan lelah ialah keadaan di mana salur paru-paru kecil (bronchiol) menjadi radang sekali gus menyebabkan salur paru-paru itu sempit.

Apakah tanda-tanda lelah?

Secara klasiknya lelah menyebabkan kanak-kanak akan mengalami batuk berterusan, nafas yang berbunyi dan semput. Biasanya batuk yang dialami oleh kanak-kanak itu adalah basah (wet cough) iaitu berkahak. Bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai tanda-tanda klasik lelah. Ini menyukarkan diagnosis lelah dibuat dan kebanyakan kanak-kanak ini akan mengalami batuk berterusan yang tidak baik walaupun sudah makan banyak ubat.

Tanda-tanda yang penting bagi ibu bapa untuk mengenalpasti kemungkinan anak mereka mengalami asma atau lelah ialah:

1. Batuk berterusan terutama lebih kerap pada waktu malam atau awal pagi.

2. Batuk berterusan yang bermula dari batuk selesema biasa. Biasanya batuk selesema akan hilang dalam masa antara empat hingga enam hari tetapi kanak-kanak ini akan terus batuk untuk jangka masa yang lebih lama.

3. Batuk selepas bermain atau menjalankan aktiviti.

4. Batuk apabila suhu persekitaran yang sejuk seperti di dalam bilik berhawa dingin. Selepas meminum air sejuk atau makan ais krim. Batuk ini juga mungkin berlaku selepas memakan buah-buahan seperti oren

5. Semput

Jika terdapat juga simptom alahan seperti ruam, resdung atau selesema awal pagi, ini lebih meninggikan lagi kemungkinan asma atau lelah. Kanak-kanak yang mempunyai masalah lelah atau asma senang dijangkiti kuman pada paru-paru.

Disebabkan lelah selalu dicetuskan selepas deman selesema biasa, ini menyebabkan kadar kemasukan hospital lebih tinggi di kalangan kanak-kanak menghidap lelah. Seperti apa yang diperkatakan oleh saudara Izam masalah lelah itu menyebabkan anaknya kerap mendapat jangkitan kuman dan dimasukkan di hospital.

Ada beberapa faktor yang boleh mencetuskan simptom lelah antaranya ialah habuk atau hama habuk( house dust mites), asap rokok, buah-buahan citrus dan sebagainya. Walaupun perkara yang menyebabkan lelah itu berbeza dari seorang ke seorang tetapi secara umumnya apa yang dinyatakan di atas ialah punca utama.

Apakah rawatan untuk lelah?

Tiada rawatan yang boleh menyembuhkan lelah. Ubat-ubatan yang dimakan kanak-kanak menghidap lelah hanyalah untuk mengawal simptom itu tetapi tidak menyembuhkan seseorang itu daripada masalah lelah. Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap lelah ini akan pulih dengan sendiri apabila mereka besar atau mencapai peringkat remaja.

Terdapat dua jenis kategori ubat ketika memberi rawatan kepada kanak-kanak menghidap lelah.

1. Ubat-ubatan yang mencegah kanak-kanak daripada lelah

2. Ubat-ubatan yang mengurangkan simptom lelah ketika kanak-kanak mengalami lelah.

Apabila kanak-kanak sering mendapat simptom lelah, kanak-kanak itu perlu memakan ubat yang boleh mencegah simptom lelah itu berulang. Ubat ini memerlukan penggunaan setiap hari dan oleh itu ramai ibu bapa berasa takut kononnya kanak-kanak itu terpaksa bergantung kepada ubat. Ini tidak benar, apa yang berlaku ialah pada mulanya ubat itu perlu diberi setiap hari kepada kanak-kanak terbabit dan apabila kawalan lelah itu beransur baik, ubat-ubatan ini akan dikurangkan secara perlahan sehingga diberhentikan. Kebanyakan ubat pencegahan lelah mengandungi steroid. Ramai ibu bapa yang bimbang dengan bahan itu tetapi oleh kerana ubat berkenaan digunakan secara topikal ia adalah selamat dan tidak membawa kesan sampingan.

Saya sendiri ketika zaman kanak-kanak berhadapan dengan masalah lelah. Pada masa itu disebabkan tiadanya ubat yang boleh mengawal lelah dengan baik banyak perkara yang tidak boleh dilakukan seperti aktiviti sukan, tidak boleh minum air sejuk dan lebih menyedihkan setiap kali hari raya saya akan semput disebabkan asap bunga api. Apa yang kita inginkan dalam rawatan lelah ialah kanak-kanak itu dapat melakukan aktiviti biasa dan tidak terasa ketinggalan disebabkan oleh lelah.

Mengenai pemakanan dan lelah, tiada bukti kukuh yang menunjukkan vitamin mencegah lelah bagaimanapun, pemakanan yang baik akan meningkatkan lagi sistem imun badan dan ini akan mengurangkan jangkitan virus dan secara tidak langsung mungkin mengurangkan kekerapan lelah.

Kesimpulannya, daripada apa yang diterangkan di atas, kemungkinan besar kawalan lelah anak saudara Izam masih kurang memuaskan dan ini menyebabkan anak saudara kerap mendapat lelah dan paru-parunya dijangkiti kuman.


Petikan: Berita Harian 

No comments:

Post a Comment